Assalamualaikum dan selamat sejahtera
Saya ada teringat, beberapa hari sebelum/sedang peperiksaan
SPM, saya ada baca satu surat diterbitkan New Straits Times. Dalam surat itu
penulis mencadangkan supaya di Legoland Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa yang
digunakan atau bahasa perantaraan.
Beliau berkata sepatutnya di Legoland digunakan Bahasa
Melayu sebab Malaysia pun dalam proses untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan
menggunakan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.
Masa saya baca surat itu, saya terfikir juga kebenaran
kata-kata penulis tu. Sebab Legoland merupakan antara pusat pelancongan yang
semakin meningkat namanya, jadi kenapa kita tak guna saja Bahasa Melayu? Secara
tak langsung kita boleh mempromosikan dan membudayakan Bahasa Melayu dalam kalangan
para peloncong.
Keesokan harinya, dalam akhbar yang sama, ada satu surat
membalas usul surat yang sebelumnya. Ringkas sahaja kata-katanya. Beliau
menyatakan sebenarnya di Malaysia kita masih tidak boleh membuat Bahasa Melayu
sebagai bahasa perantaraan, tetapi tidak untuk Bahasa Inggeris. Di Legoland,
hanya Bahasa Inggeris digunakan kerana majoriti pengunjungnya lebih memahami
Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu.
Tambah beliau, penggunaan Bahasa Melayu tidak boleh
diperluaskan selagi penggunanya sendiri ( penduduk Malaysia) tidak menggunakan
dengan betul. Bahasa Inggeris boleh diperluaskan dan dijadikan sebagai bahasa
antarabangsa kerana tiada perubahan yang dilakukan oleh pengguna ibundanya
sendiri (native user). Sedangkan di Malaysia, berapa banyak slang atau
istilah-istilah baharu yang aneh-aneh direka oleh pengguna Bahasa Melayu.
Kadangkala, perkataan yang digunakan tidak masuk akal.
Bila saya baca isi surat itu, rasa terpempan sekejap. Apa
yang beliau katakan itu benar.
Macam mana kita nak 'mengetengahkan' penggunaan Bahasa
Melayu, sedangkan kita sendiri tidak menggunakannya dengan betul. Kalau tak
kenapa boleh wujudnya istilah 'bahasa baku'? Berapa ramai yang sebenarnya
menggunakan bahasa baku dalam ungkapan harian?
Bahasa Melayu hari ini sudah jauh rosak dari Bahasa Melayu
yang asalnya. Semua ni boleh dilihat dengan jelas terutamanya dalam laman web
sosial seperti Facebook dan Twitter. Sikap yang terlalu malas nak tulis dengan
betul menjadi punca kepunahan linguistik sehingga terbawa-bawa ke dalam
kehidupan seharian.
Sekarang dah menjadi tanggungjawab semua orang
memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu. Saya sendiri pun kadangkala tersalah
guna istilah atau tatabahasa yang sesuai. Asalkan kita berusaha untuk
memartabatkan Bahasa Melayu, itu yang penting.
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mempunyai
bahasanya sendiri.
Dan susah tentunya media massa menjadi peranan yang penting
dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia memartabatkan Bahasa Melayu. Sejak
kebelakangan ini (sejak habis SPM), bila saya tengok rancangan di televisyen
terutamanya rancangan bual bicara, ramai yang tidak menggunakan Bahasa Melayu
dengan betul. Malah ada yang menyelitkan penggunaan Bahasa Inggeris (spt ; so,
then, you, I) walaupun rancangan itu rancangan berbahasa Melayu.
P/s : Terasa sangat skema ketika menulis entri kali ini. Tapi terpaksa juga meluahkan pandangan yang sudah terpendam lama. Huhu