Saturday, December 14, 2013

Bahasa Melayu VS Bahasa Inggeris

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Saya ada teringat, beberapa hari sebelum/sedang peperiksaan SPM, saya ada baca satu surat diterbitkan New Straits Times. Dalam surat itu penulis mencadangkan supaya di Legoland Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa yang digunakan atau bahasa perantaraan.

Beliau berkata sepatutnya di Legoland digunakan Bahasa Melayu sebab Malaysia pun dalam proses untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan menggunakan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.
Masa saya baca surat itu, saya terfikir juga kebenaran kata-kata penulis tu. Sebab Legoland merupakan antara pusat pelancongan yang semakin meningkat namanya, jadi kenapa kita tak guna saja Bahasa Melayu? Secara tak langsung kita boleh mempromosikan dan membudayakan Bahasa Melayu dalam kalangan para peloncong.

Keesokan harinya, dalam akhbar yang sama, ada satu surat membalas usul surat yang sebelumnya. Ringkas sahaja kata-katanya. Beliau menyatakan sebenarnya di Malaysia kita masih tidak boleh membuat Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, tetapi tidak untuk Bahasa Inggeris. Di Legoland, hanya Bahasa Inggeris digunakan kerana majoriti pengunjungnya lebih memahami Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu.

Tambah beliau, penggunaan Bahasa Melayu tidak boleh diperluaskan selagi penggunanya sendiri ( penduduk Malaysia) tidak menggunakan dengan betul. Bahasa Inggeris boleh diperluaskan dan dijadikan sebagai bahasa antarabangsa kerana tiada perubahan yang dilakukan oleh pengguna ibundanya sendiri (native user). Sedangkan di Malaysia, berapa banyak slang atau istilah-istilah baharu yang aneh-aneh direka oleh pengguna Bahasa Melayu. Kadangkala, perkataan yang digunakan tidak masuk akal.

Bila saya baca isi surat itu, rasa terpempan sekejap. Apa yang beliau katakan itu benar.

Macam mana kita nak 'mengetengahkan' penggunaan Bahasa Melayu, sedangkan kita sendiri tidak menggunakannya dengan betul. Kalau tak kenapa boleh wujudnya istilah 'bahasa baku'? Berapa ramai yang sebenarnya menggunakan bahasa baku dalam ungkapan harian?

Bahasa Melayu hari ini sudah jauh rosak dari Bahasa Melayu yang asalnya. Semua ni boleh dilihat dengan jelas terutamanya dalam laman web sosial seperti Facebook dan Twitter. Sikap yang terlalu malas nak tulis dengan betul menjadi punca kepunahan linguistik sehingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian.

Sekarang dah menjadi tanggungjawab semua orang memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu. Saya sendiri pun kadangkala tersalah guna istilah atau tatabahasa yang sesuai. Asalkan kita berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu, itu yang penting.

Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mempunyai bahasanya sendiri.

Dan susah tentunya media massa menjadi peranan yang penting dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia memartabatkan Bahasa Melayu. Sejak kebelakangan ini (sejak habis SPM), bila saya tengok rancangan di televisyen terutamanya rancangan bual bicara, ramai yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Malah ada yang menyelitkan penggunaan Bahasa Inggeris (spt ; so, then, you, I) walaupun rancangan itu rancangan berbahasa Melayu.



P/s : Terasa sangat skema ketika menulis entri kali ini. Tapi terpaksa juga meluahkan pandangan yang sudah terpendam lama. Huhu
 


No comments:

Post a Comment